Saturday, April 5, 2008

PERIHAL MAKNA


Setiap perkara yang wujud dan dapat dicerap oleh pancaindera kita semuanya mempunyai makna-makna yang tertentu. Segala yang wujud ini adalah berbentuk simbol. Manusia memberikan nama-nama tertentu bagi simbol-simbol yang dilihatnya.

Pemberian nama-nama tertentu oleh manusia terhadap simbol-simbol yang yang wujud di alam ini terkadang telah menyebabkan "makna sebenar" yang dikandungi oleh simbol-simbol itu telah dikelabui oleh nama-nama yang dipaksakan keatasnya.

Makna sesuatu simbol hadir dalam 4 dimensi:-

1. Dimensi bentuk dan coraknya.

2. Dimensi kerelevanan simbol tersebut terhadap wujud yang lain.

3. Dimensi kepentingan simbol tersebut dalam konteks masa kewujudannya.

4. Dimensi kepentingan simbol tersebut dalam konteks tempat kewujudannya.

Pencarian terhadap makna sesuatu simbol mestilah berdasarkan keempat-empat dimensi yang disebutkan di atas.

Sesuatu simbol yang wujud di alam ini mampu berevolusi dari segi bentuk dan coraknya. Evolusi ini tidak akan sekali-kali merubah makna yang dikandungi oleh simbol-simbol terbabit.

Evolusi terhadap simbol-simbol ini malah menjelaskan lagi maknanya kepada kita yang memerhatikan simbol-simbol tersebut.

Pencarian Makna inilah yang dikatakan pencarian Ilmu (knowledge) dan simbol itu sendiri adalah sebagai satu bentuk informasi.




Monday, March 31, 2008

FALSAFAH INFORMASI DAN PENGETAHUAN


Terdapat perbezaan yang besar antara informasi dan pengetahuan. Seseorang yang berinformasi tidak semestinya berpengetahuan, sebaliknya seseorang yang berpengetahuan adalah seorang berinformasi. Apakah perbezaan antara informasi dan pengetahuan?


Informasi adalah apa yang dikatakan "organized data" atau data yang telah di organisasikan. Data-data boleh jadi benar atau tidak, silap atau betul, disyaki ataupun di yakini. Data juga boleh jadi observasi kita terhadap sesuatu perkara, situasi atau kejadian. Iinformasi adalah apa yang kita tanyakan dengan persoalan-persoalan Apa?(What), Yang mana? (Which), Di mana? (Where), Bila? (When) dan Siapa? (Who). Jawapan kepada semua persoalan itu adalah informasi.

Manakala pengetahuan pula adalah merupakan natijah, kesan atau hasil daripada informasi. Pengetahuan hanya akan dimiliki oleh orang-orang yang setelah mengetahui hakikat "what, which, where, when dan who" lalu mereka bertanya soalan-soalan berkenaan dengan Bagaimana? (How) dan Kenapa? (Why). How (What)?, Why (What)? dan seterusnya.

Pertanyaan yang berkaitan dengan Bagaimana (How) adalah pertanyaan yang berkaitan dengan proses, perjalanan sistem atau struktur mekanisme sesuatu perkara, keadaan ataupun situasi. Inilah yang biasanya di lakukan oleh sebahagian besar kajian-kajian empirikal. Informasi yang telah melalui proses pertanyaan tentang "Bagaimana (How)" sudah boleh dikatakan sebagai pengetahuan, namun pada hakikatnya ia masih merupakan pengetahuan kelas kedua. Pelbagai kajian sains adalah berada pada peringkat ini dan oleh sebab itulah kita mendapati pelbagai perubahan dalam kajian sains setiap hari. Keputusan kajian, pada hari ini, berkenaan dengan ubat tertentu misalnya, boleh berubah menjadi sbeliknya pada esok hari. Termasuk dalam kategori ini adalah pelbagai analisis terhadap pelbagai informasi sama ada analisis itu berbentuk induktif mahupun deduktif.

Pengetahuan yang hakiki hanyalah akan wujud apabila mana-mana data yang telah diorganisasikan itu bukan sahaja telah melalui proses pertanyaan berkenaan dengan Bagaimana (How) tapi juga telah melepasi proses yang berkaitan dengan pertanyaan Kenapa? (Why). Pertanyaan berkenaan Kenapa adalah berkaitan dengan pertanyaan terhadap "kemunasabahan sesuatu perkara, situasi atau kondisi dan seterusnya mencari kemunasabahan alternatif yang mungkin setara atau lebih baik dari kemunasabahan yang ada atau wujud sekarang pada sesuatu perkara, situasi atau kondisi", yang mana pertanyaan ini sangat sukar untuk dijawab.

Berikut adalah perumpaannya bagi menjelaskan lagi isu-isu yang disebutkan diatas:-

Apa? - Matahari.

Bagaimana (proses) Matahari? - Membakar suatu gas di atas permukaannya lalu mengeluarkan api dan bahang serta cahaya, lalu cahaya sampai ke bumi dalam beberapa saat lalu menjadikan bumi panas atau sebagainya.

Kenapa Matahari? - Apakah kemunasabahan bentuknya, apakah kemunasabahan jaraknya, apakah kemunasabahan prosesnya dan apakah wujud satu kemunasabahan alternatif yang lebih baik daripada kemunasabahan yang telah terwujud? Jika tidak kenapa? Jika ya kenapa?

Jawapan kepada persoalan berkenaan dengan "kenapa" ini, pada akhirnya akan membawa kita kepada satu natijah, iaitu TUHAN. Tuhan telah menetapkan begitu dan begini, siapa kita untuk mengatakan ianya tidak munasabah. Lalu tanyalah diri kita siapa TUHAN? kenalkah kita dengan-Nya, di mana Dia? dan apakah kita telah tunduk kepada-Nya sebagaimana matahari telah tunduk kepada-Nya?

Manusia akhirnya akan mengenali Tuhannya hanya dengan melalui proses-proses mencari pengetahuan yang hakiki dengan pertanyaan "Kenapa (Why)?. Bagi yang hanya berhenti setakat Bagaimana (How), biasanya mereka akan bertuhankan sains atau akal mereka sahaja.