Saturday, September 6, 2008

Makna, Kefahaman dan Istilah


Makna itu wujud seperti mana adanya ia. Wujud yang ber-Dinamis. Punya dimensi-dimensinya yang tersendiri serta berdikari.


Sang Perenung merenungi apa yang ada di sebalik Makna. Proses ini menuntut Kefahaman.


Setakat mana Sang Perenung memahami Makna-Makna itu, setakat itu pulalah Sang Perenung mengIstilahkan Makna-makna tersebut mengikut bahasa-bahasanya.


Antara Sang Perenung Makna, mereka memiliki keupayaan Kefahaman yang berbeza-beza terhadap apa yang ada disebalik Makna-makna tersebut dan kemudiannya mengIstilahkan Makna-makna tersebut mengikut tahap-tahap pemahaman mereka yang berbeza-beza pula.


Namun Makna-Makna tetap ujud dalam kesedia-adaanya, walau apapun Istilah yang diberikan oleh Sang Perenung terhadapnya.


Apabila sesuatu Makna itu diIstilahkan oleh Sang Perenung, maka jadilah Makna-Makna itu terhad kepada istilah-istilah yang telah ditetapkan oleh Sang Perenung walaupun pada hakikatnya keujudan Makna-makna itu jauh lebih suci dan diluar perIstilahan Sang Perenung.


Dengan perIstilahan, maka wujudlah hijab-hijab terhadap Makna-makna.
Hijab-hijab ini pula menghalang anda dari mencapai dimensi sebenar Makna-makna tersebut.


Renungi dan Fahamilah perkara ini dengan sebaik-baiknya.



Nina oh Nina

Nina oh nina apa yang dicariknya
di maya kelam kelabu
terkadang bisa disebut hitam
lapangan nafsu bertemu dan beradu kekuatannya
merak mana yang terkembang sayapnya
menjadi kenyang diranjang realiti



aneh maya ini
kelam dan kelabu terkadang hitam
masih dihuni oleh
orang sebaikmu



Nina oh nina
sudahkah engkau
hantarkan secebis doa
buat sang perwira yang sedang menunggumu
di dada lauh mahfuz
tak inginkah kau mengenalinya
membawanya kesisi realiti mu???



Nina oh nina
sudahkah kau karamkan kapal takdirmu
di maya yang kelam kelabu dan hitam ini
atau kau cukup gagah untuk menggagahinya???



Nina oh nina
terpulanglah
destinimu dimana
aku yang merenungmu ini
hanya bisa berharap
kau sanggup menggagahi maya ini
dengan zikir dan cahaya
yang sedang meredup dalam dirimu itu...


Friday, September 5, 2008

aku,kau,kami,mereka,kamu,dia dan kita


Di seluruh jagad ini, manusia hanya bisa di kategorikan kepada 7 kumpulan sahaja:


1. Aku

2. Engkau

3. Kami

4. Mereka

5. Kamu

6. Dia

7. Kita


Aku lawannya Engkau.

Kami lawannya Mereka.

Kamu adalah pendukung Aku atau Engkau, Kami atau Mereka.

Dia adalah yang Ghaib pada pandangan Aku, Engkau, Kami dan Mereka.


Kita adalah harapan. Jika Aku, Engkau, Kami, Mereka, Kamu dan Dia menjadi Kita, maka dunia ini akan mencapai puncak keamanan.


Kita adalah harapan dan pastinya akan tinggal harapan.


Aku, Engkau, Kami, Mereka, Kamu dan Dia selamanya tidak akan mampu untuk kekal sebagai Kita.


TABIR KASIH


ia
menyelak tabirnya
aku termanggu dan beku


ia
menghembus rindunya
aku kaku dan bisu


ia
menitiskan cintanya
aku berpaling
dari segalanya


ia...
...aku
laut dan ombaknya
api dan kemilaunya
kuasa dan natijahnya


...ia
aku..
manifestasi yang menuntut
pencerahan...

Thursday, September 4, 2008

SUJUD


sujudlah padaKu
Aku tidak darimu


sujudlah
dengan asalmu
dan segala


sujudlah
moga engkau
bisa melihatKu
dan mewarisi
ceritera tentangKu



hakikat cinta


sekuntum tulip
milik tujuh lautan
samudera dan angin-anginnya
benarkah? atau hanya
selembar hayalan
dalam benakmu
sesat dan menggelincirkan


sedang sekuntum tulip
ku lihat bersujud
dalam kejelitaannya
menjenguk-jenguk
pada apa
yang tidak di mungkirinya
pada apa...
yang dia, aku dan kamu
tidak melihatnya...















Tuesday, May 20, 2008

GOLD RINGS-KENALI EMAS


Barang kemas yang kita pakai wujud dalam salah satu kumpulan berikut:


1. Emas 24 Karat - Ini emas tulin, kandungan emas adalah 99.9% per gram. tidak pernah ada satu barang kemas dibuat menggunakan 24 karat emas kerana terlalu lembut dan tidak dapat bertahan sebagai barang kemas. Ia wujud dalam bentuk "Gold bar" sahaja.


2. Emas 22 Karat - Ini dikenali sebagai emas 916 dalam pasaran. Barangan kemas 916 bermakna terdapat 91.67% emas per gram. Barangan kemas 916 paling bermutu.


3. Emas 18 Karat - Kandungan emas sebanyak 75% per gram. Barangan kemas ini banyak di US dan UK dan telah menjadi standard utama di negara barat.


4. Emas 14 karat - Kandungan Emas sebanyak 58.3% per gram.


5. Emas 10 Karat - kandungan emas sebanyak 41.6% per gram.


Di Malaysia kita buat barangan kemas dengan menggunakan emas 916 atau 22 Karat. Namun tak semua kedai emas yang menjual barangan kemas emas 916 benar-benar meletakkan 91.67% emas per gram didalam barangan kemas. Majoriti menggunakan 85.5% emas sahaja per gram tapi menjualnya sebagai emas 916.



Contoh:


Jika cincin emas kita beratnya 10 gram maka kandungan emas di dalamnya, jika emas 916, adalah sebanyak 91.67% emas.


10 gram X 0.916 = 91.6 sahaja kandungan emas didalam cincin emas seberat 10 gram


Pastikan anda tidak tertipu.

Tuesday, April 15, 2008

maka terpahatlah cinta
di dada rasa
...satu...
yang hakiki
...dua...
yang syurgawi
aku...
mencetuskan
...dia
mengabuli...
dan jiwa
menikmati
titis yang sakti
berlabuhlah rindu
biar bisa aku
sentuhi dia

berlabuhlah cinta
biar bisa aku
kucupi dia

berlabuhlah takdir
biar bisa aku
mengenggami dia

bawalah dia
biar bisa aku
memujanya
di segala masa

wahai kasih
mendekatlah
biar tersisih
segala duka
yang terlalu lama
menumpang rasa

Friday, April 11, 2008

KAU BINTANG

aku menemuimu
di samsara yang tak terhingga
sewaktu melayari maya resah
dan mencari damai
di balik bintangan
yang tak terjangkaukan

sejak itu
ingatan terhadapmu
mengakar di laman hatiku
pada dasar yang paling dalam

dan aku ingin kau tahu
tentang tulip-tulip rindu
yang berlagu
dari dalam dadaku
menyeru-nyeru namamu
setiap kali khayalku
melewati daerahmu

dan engkau
barangkali mengetahuinya
dari sayu mataku
yang sering menyapa
wajahmu
bahawa aku selamanya
akan terusan menyintaimu
walau seluruh yang ada padamu
adalah syurga yang asing
bagiku...

Emmm.. masalah saya

"How to do everything but write your Thesis"

BAGAIMANA MEMPERCAYAI


Bagaimana kita nak mempercayai pada seseorang?

Melalui mata, kita boleh lihat seseorang dari segi "non-verbal communication"nya, gayanya berpakaian, perawakannya, wajahnya, jamnya, keretanya dan sebagainya, lalu kita menghukumi dia sama ada, boleh dipercayai atau tidak.

Melalui telinga, kita dengar gayanya bercakap, dengan lembutnya, sopan santunnya, beradabnya dan sebagainya, lalu kita menghukumi dia sama ada, boleh dipercayai atau tidak.

Melalui mulut, kita bertanya dan menguji seseorang, lalu dijawabnya, sambil mata kita dan telinga kita sama-sama mengawasinya, lalu kita menghukumi dia sama ada, boleh dipercayai atau tidak.

Setelah itu, kita membuat keputusan yang kita percaya pada seseorang dan tak lama selepas itu kita ditipunya, atau kita menghukumi seseorang yang lain yang dia itu tidak boleh dipercayai dan selepas itu kita menyesal kerana tidak mempercayainya.

Selalunya begitulah lumrah alam, setiap hari dilaporkan didalam akhbar-akhbar. Walaupun kita telah melihatnya, mendengarnya dan berkata-kata denganya kita masih lagi tertipu dengan keputusan kita sendiri.

Rata-rata yang ditipu adalah orang yang dapat melihat, mendengar dan berkata-kata.

Kita merasa hairan bagaimana orang buta mempercayai teman-temannya? Apakah metodologi yang dipakai oleh orang buta? Apakah perimeter yang dipakai oleh orang buta bagi mempercayai teman-temannya termasuk kita yang sempurna ini, untuk dipercayainya?

Bagaimana mereka menilai sehingga dalam setahun hampir tiada orang buta ditipu oleh teman-temannya, malah, kita pada tiap-tipa malam, ditipu oleh orang-orang yang berlagak buta yang meminta sedekah di merata-rata.

Teman saya pernah bertanya kepada orang buta berkenaan dengan apa yang dilihatnya dalam keadaan buta itu. Orang "buta asal" itu menjawab yang dia melihat warna kuning sahaja. Teman saya mempercayainya sampai sekarang bahawa orang buta itu nampak warna kuning dalam
kebutaannya. walaupun teman saya mempercayai orang buta itu, saya bertanya dia selepas 6 tahun, Bagaimana orang buta asal itu tahu warna kuning? dia terdiam...

Sekarang siapa yang buta? Apakah sebenarnya penglihatan? Adakah melalui mata? atau dimanakah "penglihatan" yang sebenarnya?

Thursday, April 10, 2008

APA YANG LEBIH UTAMA


Apa yang lebih utama selepas pilihanraya?


1. Melaksanakan amanah politik vs Memperluaskan kuasa politik

2. Kemenangan Islam vs Kemenangan parti politik Islam

3. Menunaikan keadilan vs memperjuangkan keadilan

4. Berstrategi untuk melaksanakan apa yang dijanji vs Berstrategi untuk memperluaskan kuasa

5. Mempertahankan kemenangan vs Memperluaskan kemenangan

6. Mengukuhkan kedudukan parti vs melemahkan parti orang lain

7. Menilai kelemahan parti kita vs menilai kelemahan parti orang lain

8. Berjuang untuk bangsa kita vs berjuang untuk bangsa orang lain

9. Mengambil hati ahli majority vs mengambil hati ahli minority

10. Memperbaiki nasib masjid vs memperbaiki nasib kuil

11. Anak di kendong vs Kera di hutan

12. Membiarkan diri sendiri mabuk kuasa vs membiarkan orang lain mabuk kuasa

13. Berpakat untuk melaksanakan amanah kemenangan vs Berpakat untuk mendapatkan amanah kemenangan yang lebih besar

14. Menjaga aib sendiri vs membuka aib orang lain

15. Berjuang untuk memperbaiki undang-undang vs Berjuang untuk memansuhkan undang-undang


Banyak lagi la... tak tahu la...tah betul tah tidak paria-paria politik ni???

Monday, April 7, 2008

KUASA DAN SEJARAH

Apa yang membentuk seseorang pemimpin?

Jawapan:

1. Sejarah keluarganya.
2. Sejarah pendidikannya.
3. Sejarah pergaulannya.
4. Sejarah penderitaannya.
5. Sejarah kebahagiaannya.
6. Sejarah Agamanya.
7. Sejarah pemikirannya.
8. Sejarah pengkhianatannya.
9. Sejarah kesetiaannya.
10. Sejarah kekayaannya.
11. Sejarah kesilapannya.
12. Sejarah kedegilannya.
13. Sejarah keberaniannya.
14. Sejarah emosinya.
15. Sejarah nafsunya.
16. Sejarah kearifannya.
17. Sejarah jaringan sosialnya.
18. Sejarah jaringan politiknya.
19. Sejarah ideologinya.
20. Sejarah nilai-nilai yang dipegangnya.

Jika begitu banyak ciri-ciri yang harus diperhatikan bagaimana kita boleh melihat jiwa seseorang pemimpin jika kita hanya beberapa kali menemuinya? atau hanya mendengar daripada cerita-cerita pihak ketiga.

Itulah sebabnya dalam Islam pemimpin dengan rakyat adalah seperti aur dengan tebing.

Jika ada pemimpin yang setiap hari sembahyang berjemaah dengan rakyat kenapa pemimpin yang seangkatan dengan beliau tidak mampu melakukan perkara yang sama?

Kenapa perlu ada alasan kesibukan? Bukankah sembahyang mahu tidak mahu terpaksa juga dibuat?

Dan lagi, bukankah semua orang yang hadir di mana-mana masjid pun merupakan rakyat?

Dan bukankah masjid juga ada dimana-mana di Malaysia ini?

Oleh itu pemimpin tidaklah boleh dinilai melalui ceramah yang berkobar-kobar sahaja. Mesti bersama dengannya sekurang-kurang untuk sembahyang berjemaah baru boleh menilainya.

Kenapa MB Kelantan boleh membuat perkara yang demikian manakala di negeri-negeri lain tidak mampu?

Tidak sibukkah MB Kelantan itu yang dahulunya merupakan satu-satunya MB negeri yang menghadapi pelbagai tekanan bukan sahaja dari segi politik malah juga kewangan, sosial, budaya dan lain-lain?

Saturday, April 5, 2008

PERIHAL MAKNA


Setiap perkara yang wujud dan dapat dicerap oleh pancaindera kita semuanya mempunyai makna-makna yang tertentu. Segala yang wujud ini adalah berbentuk simbol. Manusia memberikan nama-nama tertentu bagi simbol-simbol yang dilihatnya.

Pemberian nama-nama tertentu oleh manusia terhadap simbol-simbol yang yang wujud di alam ini terkadang telah menyebabkan "makna sebenar" yang dikandungi oleh simbol-simbol itu telah dikelabui oleh nama-nama yang dipaksakan keatasnya.

Makna sesuatu simbol hadir dalam 4 dimensi:-

1. Dimensi bentuk dan coraknya.

2. Dimensi kerelevanan simbol tersebut terhadap wujud yang lain.

3. Dimensi kepentingan simbol tersebut dalam konteks masa kewujudannya.

4. Dimensi kepentingan simbol tersebut dalam konteks tempat kewujudannya.

Pencarian terhadap makna sesuatu simbol mestilah berdasarkan keempat-empat dimensi yang disebutkan di atas.

Sesuatu simbol yang wujud di alam ini mampu berevolusi dari segi bentuk dan coraknya. Evolusi ini tidak akan sekali-kali merubah makna yang dikandungi oleh simbol-simbol terbabit.

Evolusi terhadap simbol-simbol ini malah menjelaskan lagi maknanya kepada kita yang memerhatikan simbol-simbol tersebut.

Pencarian Makna inilah yang dikatakan pencarian Ilmu (knowledge) dan simbol itu sendiri adalah sebagai satu bentuk informasi.




Monday, March 31, 2008

FALSAFAH INFORMASI DAN PENGETAHUAN


Terdapat perbezaan yang besar antara informasi dan pengetahuan. Seseorang yang berinformasi tidak semestinya berpengetahuan, sebaliknya seseorang yang berpengetahuan adalah seorang berinformasi. Apakah perbezaan antara informasi dan pengetahuan?


Informasi adalah apa yang dikatakan "organized data" atau data yang telah di organisasikan. Data-data boleh jadi benar atau tidak, silap atau betul, disyaki ataupun di yakini. Data juga boleh jadi observasi kita terhadap sesuatu perkara, situasi atau kejadian. Iinformasi adalah apa yang kita tanyakan dengan persoalan-persoalan Apa?(What), Yang mana? (Which), Di mana? (Where), Bila? (When) dan Siapa? (Who). Jawapan kepada semua persoalan itu adalah informasi.

Manakala pengetahuan pula adalah merupakan natijah, kesan atau hasil daripada informasi. Pengetahuan hanya akan dimiliki oleh orang-orang yang setelah mengetahui hakikat "what, which, where, when dan who" lalu mereka bertanya soalan-soalan berkenaan dengan Bagaimana? (How) dan Kenapa? (Why). How (What)?, Why (What)? dan seterusnya.

Pertanyaan yang berkaitan dengan Bagaimana (How) adalah pertanyaan yang berkaitan dengan proses, perjalanan sistem atau struktur mekanisme sesuatu perkara, keadaan ataupun situasi. Inilah yang biasanya di lakukan oleh sebahagian besar kajian-kajian empirikal. Informasi yang telah melalui proses pertanyaan tentang "Bagaimana (How)" sudah boleh dikatakan sebagai pengetahuan, namun pada hakikatnya ia masih merupakan pengetahuan kelas kedua. Pelbagai kajian sains adalah berada pada peringkat ini dan oleh sebab itulah kita mendapati pelbagai perubahan dalam kajian sains setiap hari. Keputusan kajian, pada hari ini, berkenaan dengan ubat tertentu misalnya, boleh berubah menjadi sbeliknya pada esok hari. Termasuk dalam kategori ini adalah pelbagai analisis terhadap pelbagai informasi sama ada analisis itu berbentuk induktif mahupun deduktif.

Pengetahuan yang hakiki hanyalah akan wujud apabila mana-mana data yang telah diorganisasikan itu bukan sahaja telah melalui proses pertanyaan berkenaan dengan Bagaimana (How) tapi juga telah melepasi proses yang berkaitan dengan pertanyaan Kenapa? (Why). Pertanyaan berkenaan Kenapa adalah berkaitan dengan pertanyaan terhadap "kemunasabahan sesuatu perkara, situasi atau kondisi dan seterusnya mencari kemunasabahan alternatif yang mungkin setara atau lebih baik dari kemunasabahan yang ada atau wujud sekarang pada sesuatu perkara, situasi atau kondisi", yang mana pertanyaan ini sangat sukar untuk dijawab.

Berikut adalah perumpaannya bagi menjelaskan lagi isu-isu yang disebutkan diatas:-

Apa? - Matahari.

Bagaimana (proses) Matahari? - Membakar suatu gas di atas permukaannya lalu mengeluarkan api dan bahang serta cahaya, lalu cahaya sampai ke bumi dalam beberapa saat lalu menjadikan bumi panas atau sebagainya.

Kenapa Matahari? - Apakah kemunasabahan bentuknya, apakah kemunasabahan jaraknya, apakah kemunasabahan prosesnya dan apakah wujud satu kemunasabahan alternatif yang lebih baik daripada kemunasabahan yang telah terwujud? Jika tidak kenapa? Jika ya kenapa?

Jawapan kepada persoalan berkenaan dengan "kenapa" ini, pada akhirnya akan membawa kita kepada satu natijah, iaitu TUHAN. Tuhan telah menetapkan begitu dan begini, siapa kita untuk mengatakan ianya tidak munasabah. Lalu tanyalah diri kita siapa TUHAN? kenalkah kita dengan-Nya, di mana Dia? dan apakah kita telah tunduk kepada-Nya sebagaimana matahari telah tunduk kepada-Nya?

Manusia akhirnya akan mengenali Tuhannya hanya dengan melalui proses-proses mencari pengetahuan yang hakiki dengan pertanyaan "Kenapa (Why)?. Bagi yang hanya berhenti setakat Bagaimana (How), biasanya mereka akan bertuhankan sains atau akal mereka sahaja.

Friday, March 28, 2008

ACARA APA SELEPAS PILIHANRAYA 2008










Pada tahun-tahun yang lepas, pelbagai acara perayaan telah dilaksanakan oleh "siapa tah?" bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang Aman dan Sejahtera. Ada program Jom Heboh, Sure Heboh, Perkampungan Hadhari, Warna-Warna Malaysia dan sebagainya.










Tahun ini nampaknya Malaysia sudah "tidak berapa" "Aman" dan "Sejahtera" lagi untuk di diami terutamanya di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Penang, Kedah, (Perlis? dan Terengganu?). Manakala di Kelantan keadaan sudah "tidak" "Aman" dan "Sejahtera" sejak 18 tahun yang lalu.

Oleh kerana itu disarankan agar acara yang berkaitan dengan "festival" dan "perayaan" di adakan dengan lebih hebat lagi, bagi menjamin:-

1. Keamanan dan Kesejahteraan Malaysia.

2. Bagi menarik minat golongan Muda, khususnya golongan Belia dan Remaja untuk menyokong segala dasar yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pemerintah pusat bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia.

Adalah disyorkan festival-festival seperti yang terpapar pada gambar-gambar yang di "post"kan di sini di laksanakan oleh "tah sapa-sapa tah"....

Apa dah jadi


Malaysia kita nampaknya telah jadi medan perebutan beberapa kuasa besar. Sememangnya ia ada sedikit kaitan dengan minyak, macam jugak ditempat lain yang sedang berperang.

Kuasa Besar pertama Pak Lah and family (?)

Kuasa Besar kedua Anwar Ibrahim and family

Kuasa Besar ketiga Lim Kit Siang and family

Namun ada satu lagi kuasa besar yang sedang memerhatikan... (bekas kuasa besar) iaitu Mahathir and family.

Nampaknya semua kuasa besar ini ada satu harapan yang jugak agak besar... Menjadikan Malaysia sebagai satu tempat hidup yang sejahtera...barangkali keluarga mereka sudah mencapai kesejahteraan yang optimal ... so now... kita pulak nak di-sejahtera-kan... apa-apa ajer la...

Yang jelas..mereka yang mengundi tu ... "tah sapa-sapa tah" ... semua kuasa besar diatas pun terkejut melihat "pembahagian kuasa" yang telah "di paksakan" keatas mereka... ala kita yang mengundi... kita tahu la...


Kenapa Khairy???


Hari ini, di Universiti Malaya, saya sempat berbual dengan beberapa kawan lama saya, mereka yang 10 atau 11 tahun lalu, sama-sama belajar di fakulti undang-undang di Universiti Malaya.

Saya sempat bertanya kepada mereka satu soalan yang sudah lama saya pendamkan, pertanyaan saya adalah:-

Kenapa orang-orang membenci Khairy? Kenapa? Apakah kita mempunyai sebab yang konkrit untuk membenci personaliti ini?, walaupun pada hakikatnya, saya sendiri tidak menyukai personaliti ini langsung...

Namun terkadang saya memikirkan "Apakah saya mempunyai sebab-sebab yang konkrit untuk membenci personaliti ini?" saya sendiri gagal menjawabnya...pun begitu saya sendiri "MEMBENCI DIA"...

Kenapa saya mesti ada sebab untuk membenci Khairy? Atau, apakah cukup dengan cerita-cerita yang tersebar di sana-sini tentangnya dirinya, lalu saya mempercayai cerita-cerita itu dan terus membencinya?

Mahathir juga pernah dibenci dengan teruk, sehingga digelar "maha" itu dan "maha" ini

Anwar Ibrahim sehingga sekarang pun dibenci ramai ahli UMNO?

Tentu ada sebabnya. Mengapa?

Kebencian saya terhadap perkara-perkara lain, mampu saya nyatakan sebab-sebabnya yang konkrit. Tapi kebencian saya pada Khairy, tahu-tahu benci saja...

Namun sebagai manusia, jika kita dibenci dan orang-orang tidak tahu mengapa mereka membenci kita, maka saya rasa, itulah kebencian yang paling tinggi tahapnya benci "Tahap Dewa".

Walaubagaimana pun sekali dalam hidup saya, saya ingin sekali "mengetahui kenapa saya begitu
MEMBENCI Khairy.








Monday, March 24, 2008

how did we vote?

MySpace Comments - U.S. Election

Saya telah berjaya mencabar dan mengubah "Status Quo" sehingga negara saya telah mengalami perubahan besar dari segi struktur politiknya.

"Mereka-mereka" yang "Conservative" (lihat animasi - The last "person") telah berjaya saya singkirkan. Saya yakin anda juga bersama-sama saya. Saya tahu apa yang saya buat dan kenapa saya mencabar dan mengubah "Status Quo".

Saya harap anda juga begitu... sila komen.

SUPPORT and STATUS QUO

MySpace Comments - U.S. Election

Emm... who is supporting who?

Jika kita telah memilih untuk mengubah "status quo", bagaimana bisa kita ketahui yang pilihan kita itu benar?

Apakah kita terpaksa menunggu lagi 5 tahun?

Walau apa pun, tahniah kepada anda yang telah berani mencabar dan mengubah "Status Quo"!

Saya juga telah memilih untuk mengubah "Status Quo", malah telah bekerja keras untuknya. Suarakan apa yang anda dan saya mahukan dari "mereka-mereka" yang telah berjaya "memerintah" hasil daripada keberanian saya dan anda!

control

MySpace Comments - Funny and Hilarious


Now Control yourself!
What do you see?
Tell me the meaning of this posting?

Tiga perkara yang boleh meruntuhkan kemanusiaan:-
1. Kuasa
2. Harta
3. Sex

Berikan pandangan anda.

Sunday, March 23, 2008


Existence = Degrees Of Existences
Revolution = Concepts Of Existences
Action = Contexts Of Existences
Impact = Alternatives Of Existences
Guidance = Tools Of Existences
Limitation = Weapons Of Existences
Evolution = Laws Of Existences
Freedom = Desires Of Existences

Beberapa Persoalan:-
  1. Bagaimanakah kita bisa mengetahui bahawa segala ilmu yang telah kita kuasai selama ini adalah BENAR?
  2. Apakah yang ada disebalik ilmu yang telah kita kuasai selama ini?
  3. Apakah dengan ilmu yang telah kita kuasai selama ini, telah berjaya memberikan kita keupayaan untuk membezakan antara perkara-perkara HAK dan BATIL?
  4. Adakah kemungkinan bahawa segala ilmu yang telah kita kuasai selama ini
    adalah PALSU semata-mata?
  5. Adakah dari sebab ilmu yang telah kita kuasai selama ini telah membuatkan kita
    gagal melihat yang BENAR sebagai BENAR dan yang PALSU sebagai PALSU?
  6. Bagaimanakah kita boleh menguji akan KEBENARAN ilmu kita?
  7. Adakah hanya kerana kita telah berjaya mendapatkan sekeping ijazah daripada suatu universiti yang berprestij telah menjadikan kita seorang manusia yang "tahu akan segalanya"?
  8. Apakah yang ada di langit?
  9. Apakah yang ada di dalam bumi?
  10. Apakah diluar sana wujud manusia-manusia yang telah berjaya menguasai ilmu-ilmu yang membolehkan mereka melihat yang HAK sebagai HAK dan yang BATIL sebagai BATIL?
  11. Bagaimanakah yang BATIL itu menukar bentuk kewujudannya sehingga kita melihatnya sebagai KEBENARAN?
  12. Bagaimanakah yang HAK itu "di litupi ' sehingga kita gagal melihat KEBENARANNYA?
  13. Apakah unsur-unsur yang menyelimuti kewujudan yang HAK sehingga kita gagal melihatnya?
  14. Apakah kita diselimuti atau perkara yang HAK itu diselimuti?
  15. Pernahkan kita terfikir soalan-soalan di atas?