Saturday, May 9, 2009

LATAR BELAKANG PAS DAN UMNO

(artikel ini ditulis oleh pemilik blog)

  • Walaupun pada peringkat-peringkat awal, terdapat pelbagai gerakan nasionalisme Melayu yang didukung oleh pelbagai kumpulan, namun gerakan politik Melayu secara besar-besaran hanya muncul apabila tertubuhnya sebuah parti politik yang dikenali sebagai UMNO pada tahun 1946. Tujuan utama penubuhan UMNO pada ketika tersebut adalah untuk melindungi hak-hak dan identiti bangsa Melayu daripada ancaman bangsa-bangsa asing yang menetap di Tanah Melayu pada ketika itu yang timbul akibat daripada pengenalan konsep Malayan Union oleh kolonial British. Kepimpinan tertinggi UMNO pada awal penubuhannya adalah terdiri daripada golongan elit Melayu tradisional yang berlatar belakang administratif dan aristokratik sekular dan tidak terlalu mementingkan perjuangan prinsip-prinsip Islam dalam usaha-usahanya mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

  • Selepas penubuhan UMNO pada tahun 1946, peranan Islam di dalam perkembangan politik Melayu menjadi semakin penting. Sejak lewat tahun 1950, Islam bukan sahaja telah dilihat sebagai ejen pembangkit semangat nasionalisme Melayu, malah telah menjadi sumber langsung ideologi politik Melayu pada ketika itu. Hasil usaha-usaha Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan sokongan Maahad Il-Ehya Assyarif Gunung Semanggol, PKMM telah berjaya mengumpulkan ramai pemimpin Melayu Islam di Tanah Melayu, kecuali pemimpin-pemimpin UMNO, bagi menyertai satu kongres pada tahun 1948. Hasilnya, tertubuh satu majlis yang dikenali sebagai Majlis Islam Tertinggi Se Malaya (MATA). Matlamat utama penubuhan MATA adalah bagi menuntut dan melaksanakan perubahan yang radikal terhadap sistem pentadbiran Islam di seluruh Tanah Melayu daripada British. Pada tahun 1948 juga, MATA telah berjaya menubuhkan satu parti politik Islam yang dikenali sebagai Hizbul Muslimin yang bertujuan mendaulatkan Islam di Tanah Melayu. Penubuhan Hizbul Muslimin adalah mengambil inspirasi daripada perkataan “Hizbullah” di dalam Al-quran serta gerakan Ikhwan Al-Muslimin di Mesir dan gerakan Masyumi di Indonesia.[1] Namun akibat daripada sikap radikal Hizbul Muslimin, pihak British telah mengharamkannya setahun kemudian dengan alasan bahawa parti tersebut menjadi ancaman kepada kestabilan politik di Tanah Melayu.[2]

  • UMNO yang merasa tergugat dengan perkembangan ini telah melantik beberapa tokoh agama bagi membentuk komponen-kompenen agama di dalam parti tersebut. Pada November 1951, melalui Bahagian Agama dalam UMNO, didirikan Persatuan Ulama Se-Malaya yang dipimpin oleh Haji Ahmad Fuad Hassan. Pada tahap awalnya pertubuhan ini adalah bersifat kebajikan dan penubuhannya adalah tertakluk kepada undang-undang tubuh UMNO sendiri. Namun setelah beberapa ketika, Persatuan ini mendapati cita-cita Islam tidak boleh digunakan di dalam UMNO, kerana itu satu parti Islam perlu dilahirkan untuk menyatukan golongan yang mahukan Islam di dalam UMNO. Pertelingkahan yang terjadi antara ahli-ahli UMNO yang menyokong pendirian Persatuan Ulama Se-Malaya dan ahli-ahli UMNO yang lain telah menyebabkan ramai pemimpin Islam di dalam UMNO telah keluar dan bersatu menubuhkan sebuah parti politik yang dikenali sebagai Pan-Malayan Islamic Party pada tahun 1951 yang seterusnya telah dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) setelah secara rasmi didaftarkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 31hb Mei 1955.

  • Penubuhan PAS secara bebas daripada UMNO ini menunjukkan bahawa konflik dan perbezaan pendapat antara PAS dan UMNO telah wujud seawal penubuhan UMNO itu sendiri. Ahli-ahli UMNO yang tediri daripada golongan yang mendapat pendidikan agama dan menyokong Persatuan Ulama Se-Malaya di dalam UMNO melihat bahawa ideologi politik nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO tidak serasi dengan cita-cita politik Islam mereka. Perbezaan pendapat yang menyentuh asas ideologi perjuangan UMNO inilah merupakan titik utama perpecahan di dalam UMNO sehingga mewujudkan parti PAS.

  • Pada period awal penubuhan PAS, perjuangannya lebih menumpukan kepada ideologi nasionalisme Melayu-Islam. Dr. Burhanuddin Al-Helmi yang telah dilantik sebagai Presiden PAS bagi menggantikan Dr. Haji Alias Abbas pada 25hb Disember 1956, sepanjang tempoh kepimpinannya, amat menekankan prinsip-prinsip perjuangan yang mengharmonikan antara faham nasionalisme dan Islam sekaligus. Namun pada sisi PAS nasionalisme dipandang sebagai alat untuk perjuangan Islam dan bukan tujuan utama perjuangannya. Di dalam Falsafah Kebangsaan Melayu, Dr. Burhanuddin menyebut:

  • Islam memandang kebangsaan itu sebagai alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai satu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.[3]

  • Sepanjang kepimpinannya, Dr. Burhanuddin Al-Helmi konsisten memperjuangkan prinsip nasionalisme Melayu – Islam sehinggalah beliau ditahan dibawah ISA, Prinsip ini diulanginya didalam ucapan terakhir, sebelum beliau meninggal dunia, di Mesyuarat Agung PAS pada tahun 1964, beliau menyatakan:

    “Dalam pergolakan politik di tanah air ini, PAS muncul dengan cita-cita kenegaraan Islam, cita-cita ini wujud dan diperjuangkan berdasarkan keyakinan hidpu beragama dalam kalangan pendukung PAS.”[4]

  • Prinsip-prinsip perjuangan nasionalime Melayu-Islam yang dibawa oleh kepimpinan Dr. Burhanuddin ini bukan sahaja dianuti oleh pemimpin-pemimpin PAS yang lain malah juga didukung oleh seluruh ahli-ahli PAS yang lain, menjadikan zaman kepimpinan Dr. Burhanuddin sebagai salah satu era kegemilangan bagi PAS. Hasilnya pada pilihanraya 1959 PAS telah berjaya menawan 2 negeri iaitu Kelantan dan Terengganu walaupun hayat pemerintahan PAS di Terengganu hanya bertahan selama 2 tahun sahaja.[5]

  • Selepas Dr. Burhanuddin, PAS diterajui oleh Datuk Mohd Asri bin Haji Muda (1962-1982) sebagai Yang di Pertua PAS, semasa Asri PAS gagal menunjukkan kemampuannya untuk begerak sebagai sebuah parti Islam, malah tidak banyak bezanya dengan UMNO sendiri dari segi cita-cita Melayu dan beberapa pemimpinnya tidak memaparkan perwatakan Islam, maka kepada golongan fundamentalis di kalangan ahlinya sendiri, PAS dilihat sebagai tidak menepati kehendak atau idea sebuah pergerakan Islam. PAS pada masa Asri merupakan satu masa peralihan antara fahaman nasionalisme Melayu -Islam kepada fahaman fundamentalis Islam yang mencabar sejak awal 1980-an. Akibat konflik dalaman PAS dan tekanan golongan fundamentalis yang ada didalam PAS, akhirnya Asri telah keluar PAS dan menubuhkan HAMIM pada tahun 1982. Dengan berakhirnya era Datuk Asri maka bermulalah pula era kepimpinan ulamak di dalam PAS yang diterajui oleh Haji Yusuf Rawa yang merupakan bekas Duta Malaysia ke Iran.[6] Selepas Haji Yusuf Rawa, pada 1989 jawatan Presiden PAS diambil alih pula oleh Haji Fadzil Mohd. Nor.

  • Kejatuhan Datuk Asri dalam Muktamar Tahunan PAS ke-28 menyaksikan angin perubahan yang berlaku dalam parti tersebut daripada pendekatan nasionalime-Islam kepada fundamentalime Islam yang radikal yang dipimpin oleh golongan ulamak di dalam PAS. Mauduk perjuangan PAS lebih ditumpukan kepada soal dakwah dan akidah. Justeru soal akidah menjadi justifikasi utama dalam menentukan apa jua perkara yang menyentuh dasar-dasar perjuangan PAS. Kepimpinan sebegini,dihujahkan, sengaja dilaksanakan oleh kepimpinan ulamak di dalam PAS bagi tujuan menghapuskan bayang-bayang kepimpinan lama di bawah Datuk Asri yang telah menyebabkan PAS kehilangan sentuhan perjuangan nasionalisme-Islamnya. Kepimpinan sebegini juga dihujahkan, dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha-usaha untuk mengembalikan keyakinan ahli-ahli PAS yang lain terhadap model perjuangan Islam yang telah dipelopori oleh kepimpinan PAS yang terdahulu sebelum zaman Datuk Asri. Era kepimpinan ulamak yang memperkenal perjuangan fundamentalisme-Islam radikal yang dimulakan oleh Haji Yusuf Rawa dan seterusnya membawa kepada zaman Haji Fadzil Mohd. Nor telah berjaya mencipta beberapa tokoh ulamak yang disegani oleh ahli-ahli PAS dan menjadi lambang cita-cita perjuangan PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Haji Abdul Hadi Awang. Dalam dekad 1990an walaupun masih mengekalkan konsep kepimpinan ulamak, hasil daripada penyertaan golongan-golongan professional didalam PAS, PAS dilihat sebagai lebih liberal dan terbuka walaupun masih mengekalkan dasar-dasar fundamentalis-Islam dalam perjuangannya.[7]

  • PAS walaupun telah mengalami beberapa anjakan pemikiran sepanjang sejarah perjuangannya seperti yang dibincangkan diatas, namun faktor Islam yang menjadi asas utama dan menunjangi perjuangannya tidak pernah dilupakan oleh pendukung-pendukungnya. Bagi PAS Islam mengatasi segalanya dan segala sesuatu mestilah tunduk dan selaras dengan kehendak-kehendak Islam itu sendiri. Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa politik PAS adalah politik Islam itu sendiri. Dengan kata lain PAS tidak pernah mengamalkan pemisahan, walau sedikitpun, antara politik dan agama, malah Agama Islamlah yang menjadi tunjang utama kepada ideologi politik PAS. Hasilnya PAS telah sepanjang perjuangannya mempunyai ideologi politik yang amat jelas iaitu perjuangan Islam secara keseluruhannya dalam apa jua bidang yang menyangkut kehidupan berpolitik.

  • Pada Dekad 1990-an dibawah pimpinan Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS mengamalkan dasar yang lebih liberal di dalam perjuangan politik Islamnya, PAS pada dekad ini, dengan kemasukan ramai tenaga-tenaga professional telah berjaya memperjuangkan identiti Islam dengan tidak mengira keturunan bangsa, ingin menghidupkan kesedaran Islam yang tulen, bercita-cita menghidupkan budaya Islam, mahukan sebuah negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam yang diterajui oleh kepimpinan ulamak.

  • UMNO disudut lain, yang ditubuhkan sebagai manfestasi kemuncak perjuangan nasionalime Melayu.[8] Tindakan kerajaan British mengisytiharkan kertas putih mengenai rancangan Malayan Union pada 22 Januari 1946, yang menegatifkan Kuasa-kuasa Raja Melayu serta menidakkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu telah membangkitkan kemarahan di kalangan orang-orang Melayu. Satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1hb Mac hingga 4hb Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghadiri perhimpunan tersebut.

  • Dato Onn Bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Antara usul yang telah diluluskan oleh Kongres tersebut termasuklah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan membantah penubuhan Malayan Union. Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad ( (Za'aba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau Perlembagaan UMNO.

  • Pada mulanya UMNO dicadangkan Oleh Dato’ Onn Jaafar dengan nama “Pertubuhan Melayu bersatu” atau United Malays Organization”. Bagaimanapun Za’aba mencadangkan supaya ditambah perkataan “kebangsaan” atau “national” selepas perkataan “pertubuhan”. Selepas kongres yang pertama tersebut, dua lagi kongres telah diadakan pada 30 dan 31 Mac 1946 bertempat di Pejabat Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan hari kedua di Rumah Persatuan Penang Peranakan Batu Road, Kuala Lumpur.

  • Pada Kongres yang ketiga yang diadakan di Istana besar Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946, UMNO telah secara rasmi ditubuhkan. Dato Onn telah dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama, Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu. Sesuai dengan falsafah penubuhannya yang medukung cita-cita nasionalisme Melayu, perjuangan UMNO pada ketika itu juga sepenuhnya berkisar seputar isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu, pengukuhan Kuasa Raja-raja Melayu dan juga isu-isu yang berkaitan dengan kemerdekaan Tanah Melayu.

  • Semangat Nasionalisme Melayu yang wujud semasa awal penubuhan UMNO sangat menebal di kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Keadaan ini dapat lihat apabila cadangan Dato Onn, yang pada masa tersebut merupakan Presiden UMNO, untuk membuka keahlian parti tersebut kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu", telah ditentang oleh hampir keseluruhan pemimpin dan ahli UMNO pada ketika tersebut .

  • Disebabkan cadangan itu ditentang, Dato Onn akhirnya meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951. Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan Parti Negara bagi menggantikan Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955. Sekali lagi, partinya gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum. Walau bagaimanapun, beliau masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan 1959.

  • Setelah Dato Onn, UMNO telah diterajui oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1951 , dibawah kepmipinan beliaulah Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957. Pada masa pemerintahnnya, Tunku meletakkan dasar ekonomi liberal iaitu mana-mana individu atau etnik berhak untuk memilikinya. Dasar ini dilihat sesuai dengan system Demokrasi yang diamalkan oelh kerajaan pimpinannya. Beliau tidak mengutamakan sebarang dasar yang membolehkan kerajaan terlibat secara lansung untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu. Dasar ekonomi yang diasaskan oleh Tunku ini nampaknya masih lagi mewarisi model ekonomi neoklasikal dengan membiarkan potensi ekonomi dimonopoli oleh bukan Melayu tanpa had. Hasilnya beberapa syarikat besar asing telah menjadi semakin kukuh kedudukan di Malaysia seperti Guthrie, Sime Darby, Harisson And Crosfield serta lain-lain lagi.[9] Dasar-dasar pemerintahan Tunku ini bertentangan dengan prinsip ideologi nasionalisme Melayu seperti yang menjadi dasar perjuangan UMNO. Pembangunan ekonomi di kalangan Melayu terutamanya pada period-period awal selepas kemerdekaan amatlah penting bagi meningkatkan martabat kaum Melayu di tanah air sendiri. Kealpaan Tunku dalam membangunkan taraf ekonomi Melayu ini telah mendapat reaksi kurang senang di kalangan orang Melayu, namun oleh kerana kedudukan beliau yang berasal dari gologan istana, beliau masih lagi dihormati oleh orang-orang Melayu. Kemunduran ekonomi orang-orang Melayu berbanding dengan bangsa-bangsa lain pada ketika pemerintahan Tunku telah membawa kepada ketidakpuasan orang-orang Melayu yang akhirnya telah membawa kepada tercetusnya peristiwa 13hb Mei 1969. Ekoran trajedi ini berbagai pihak didalam UMNO telah mendesak Tunku untuk melatakkan jawatannya.[10]

  • Beliau kemudian telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada 1971 dan digantikan oleh timbalannya, Tun Abdul Razak Hussein. Ketika Tun Razak mula menerajui kepimpinan UMNO, beliau telah berhadapan dengan 3 masalah besar iaitu kemunduran ekonomi Melayu, penguasaan ekonomi oleh orang asing dan masalah etnik yang belum reda. Bagi menangani masalah ini Tun Razak telah menubuhkan Unit Perancang Ekonomi Di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggung jawabkan untuk membentuk satu dasar ekonomi yang dapat dimanipulasikan untuk kepentingan bangsa Melayu. Hasilnya Dasar Ekonomi Baru telah dilancarkan oleh Tun Razak bagi memastikan pembangunan ekonomi dikalangan orang-orang Melayu.[11] Sepanjang tempoh pemerintahannya, Tun Razak telah melakukan dua penekanan iaitu politik perpaduan dan politik penstrukturan ekonomi. Pendekatan pertama bertujuan mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat serta meningkatkan kelancaran interaksi sosial berbagai kaum. Manakala pendekatan kedua bertujuan untuk proses penstrukturan semula ekonomi dan meyeimbangkan pengagihan ekonomi negara, mengurangkan ketaksamaan kaum dari segi penguasaan ekonomi dan melibatkan orang Melayu dalam ekonomi komersial. Tun Razak juga telah melibatkan kerajaan secara langsung dalam usaha membantu meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu dengan penubuhan institusi amanah seperti PERNAS, MARA, FELDA, UDA dan lain-lain . [12] Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak pada zaman pemerintahannya benar-benar menggambarkan asas perjuangan nasionalime Melayu seperti yang dicita-citakan UMNO pada awal penubuhannya.UMNO pada zaman Tun Razak dilihat telah kembali kepada asas utama perjuangannya iaitu bagi menjamin hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam pelbagai bidang terutamanya yang melibatkan bidang ekonomi di tanah air sendiri.
  • Pada Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. Sepanjang pemerintahannya Hussein Onn hanyalah meneruskan dasar-dasar yang telah dimulakan oleh Tun Razak. Kepimpinan politik Hussein Onn memperlihatkan pola kepimpinan monoton. Istilah monoton bermaksud tidak banyak kemampuan secara objektif yang berjaya ditampilkan dalam proses pembangunan parti dan negara, Transformasi pola kepimpinan beliau menyaksikan rentak budaya politik yang perlahan. Usaha beliau hanya kelihatan dalam kesinambungan dasar-dasar yang ditinggalkan oleh Tun Razak sahaja. [13]

  • Perjuangan UMNO sepanjang pemerintahan Tunku Abdul Rahman sehingga kepada Tun Hussein Onn memperlihatkan bahawa UMNO pada period tersebut secara amnya telah telah berjaya melunaskan tanggung jawabnya, sebagai sebuah parti politik yang bertunjangkan ideologi nasionalime Melayu, untuk mengekalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu ditanah air sendiri, walaupun terjadinya tragedi 13hb Mei 1969, namun peristiwa tersebut bolehlah dilihat sebagai membawa keuntungan kepda orang-orang Melayu sendiri kerana ternyata selepas kejadian tersbut Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh UMNO telah melakukan banyak perubahan yang membolehkan orang Melayu mengubah taraf hidup mereka ditanah air sendiri.

  • Dr. Mahathir Mohamad menggantikan Tun Hussein Onn sebagai Presiden UMNO pada tahun 1981. Dr. Mahathir yang telah memegang pucuk pimpinan UMNO dari tahun 1981 hingga tahun 2003 telah banyak melalui pelbagai peristiwa pahit dan manis didalam UMNO. Namun ketokohan dan karismanya sebagai pemimpin telah membolehkan beliau melalui segala peristiwa tersebut dengan rekod yang cemerlang. Dr. Mahathir layak untuk dinobatkan sebagai nasionalis Melayu sebenar dan “The Ultra Malay” kerana usaha-usahanya dalam memperjuangkan nasib orang melayu yang sanagt mundur dalam aspek ekonomi teutama hasil peninggalan pemerintahan Tunku. Melalui DEB yang masih ada tempoh 9 tahun pelaksanaannya beliau berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membina kembali sosio-ekonomi Melayu. Tujuannya untuk memastikan supaya Melayu bukan sahaja menaungi politik tetapi juga mampu bersaing dalam bidang ekonomi yang mencabar. Beliau telah melancarkan Dasar Pandang ke Timur iaitu dengan berpaksikan model sosioekonomi masyarakat jepun dan Korea Selatan untuk merubah gaya hidup dan minda sebahagian intelektual dan golongan menengah Melayu yang pernah belajar di barat yang terlalu mengagungkan nilai dan norma kehidupan Barat. Beliau juga telah melancarkan Dasar Persyarikatan dan Dasar Penswastaan sebagai satu langkah baru dan berani. Tujuan Dasar Penswataan adalah untuk melihat lebih ramai orang Melayu terlibat dalam bidang perniagaan yang mampu bersaing dengan orang asing. Di bawah dasar ini peluang-peluang perniagaan diberikan kepada orang Melayu yang berkemampuan dan hasilnya telah berjaya melahirkan ramai jutawan dan Korporat Melayu. Beliau juga telah menukarkan corak ekonomi negara ini daripada negara bersasaskan pertanian kepada negara berasaskan perindustrian.[14] Pada zaman beliau juga telah diperkenalkan program-program Islamisasi sebagai tindak balas daripada tekanan-tekanan yang wujud pada zaman pemerintahannya seperti kemunculan gerakan dakwah, penubuhan ABIM dan kemenangan PAS di Kelantan.

  • Sepanjang era pemerintahan Dr. Mahathir UMNO masih tetap mengekalkan dasar utama perjuangannya iaitu semangat nasionalim Melayu. Dsar perjuangan UMNO tidak pernah berubah dan matlamat utama perjuangan politiknya bagi memperjuangkan adalah semangat nasionalisme Melayu.

  • Selepas Dr. Mahathir meletak jawatnnya pada tahun 2003 tempatnya telah digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO yang baru.

  • PAS dan UMNO ternyata, daripada latar belakang perjuangan mereka seperti yang dibincangkan di atas mempunyai wadah-wadah ideologi politik yang amat berbeza untuk diperjuangkan. PAS sepanjang perjuangannya tetap mengekalkan ideologi Islamnya, manakala UMNO pula tetap tegar dengan semangat nasionalisme Melayunya. Dua sisi perjuangan ideologi politik yang berbeza ini telah mencetuskan pelbagai insiden antara pengikut PAS dan UMNO.

__________________________________________________________

  • Rujukan
    [1] Abu Bakar Hamzah, “Al-Imam and Politics”, dalam Islamika II (Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise, 1982), hlm.131-143.
    [2] Kamarulnizam Abdullah, “The Politics of Islam in Contemporary Malaysia”, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2003, hlm. 43-45.
    [3] Burhanuddin Al-Helmy, “Falsafah Kebangsaan Melayu”, Pustaka Semenanjung Bukit Mertajam, 1964. Lihat Kamarudin Jaafar,” Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Politik Melayu dan Islam”, Yayasan Anda Sdn. Bhd., 1980, hlm.14.
    [4] Ibid.,
    [5] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Di Malaysia., Jakarta: Gema Insani Press (Jakarta) 1997., hlm. 224
    [6] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Di Malaysia., Jakarta: Gema Insani Press (Jakarta) 1997., hlm. 225
    [7] Mohd Izani Mohd Zain, “Islam dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia”., Penerbit University Malaya., 2005
    [8] Ibrahim Ahmad, Konflik UMNO-PAS Dalam Isu Islamisasi., IBS buku Sdn Bhd., 1989, hlm. 56
    [9] Dinamika Kepimpinan Politik UMNO, Jamaie Hamil, Di dalam Demokrasi Kepimpinan dan Keselamatan Dalam Politik Malaysia., disunting oleh Ghazali Mayudin, Jamaie Hamil, Siti daud dan Zaini Othman., Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2006, hlm.108-109.
    [10] Ibid., hlm.,116
    [11] Ibid, hlm,. 118
    [12] Ibid., hlm.,119
    [13] Ibid., hlm. 121
    [14] Ibid., hlm.124